JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan situasi seorang lelaki berbadan tegap meraung ketika membuat laporan mengenai kehilangan ayamnya di balai polis, lapor laman berita Detik hari ini.
Kejadian yang dikatakan berlaku di Balai Polis Tebo, Jambi itu dimuat naik dalam akaun TikTok @adi.sudirja.25.
“Ayam saya hilang, tuan. Tuan, ayam saya hilang,” kata lelaki tersebut dalam keadaan menangis teresak-esak sambil ditenangkan beberapa anggota polis.
“Jangan pegang saya, jangan tenangkan saya. Biar kejadian itu diketahui ramai,” tambah lelaki itu.
Selepas diberi air mineral, tangisan lelaki tersebut mula reda dan dia kemudian melaporkan kes itu kepada polis.
“Tolong rekodkan, tuan (laporan). Nama ayam saya Ahmad Saputra, tuan,” kata lelaki itu.
Selepas kejadian itu tular, Ketua Polis Tebo, Wayan Arta Ariawan berkata, video tersebut dirakam hasil kerjasama pihaknya dengan seorang lelaki bernama Adi Sudirja.
“Video itu memberi pesanan bahawa Polis Tebo sedia berkhidmat untuk masyarakat dalam apa jua kes tanpa terkecuali,” jelasnya. – Agensi