KUANTAN – “Selamat ulang tahun, kasih yang abadi, kau membuat hidupku berwarna dan terang-benderang seperti fajar, bersama kita berdua, cinta kita tidak akan pernah pudar.”
Itu ucapan tulus ikhlas Mohd. Ridhwan Mahayudin, 35, kepada isterinya sebelum dia maut dalam kemalangan di Jalan Besar Jengka 17, di sini kelmarin, bersama dua lagi mangsa ketika dalam perjalanan pulang selepas menikmati juadah ikan patin di Temerloh.
Isterinya, Nazatul Shazwati Sulaiman, 31, berkata, dia menerima kejutan kad ucapan hari jadi yang pertama kali daripada suaminya selepas 13 tahun mereka berkahwin.
Bagaimanapun, kad ucapan tersebut menjadi yang pertama dan terakhir daripada suaminya.
“Saya sempat berbual dengan suami melalui telefon selepas menerima hadiah hari jadi yang dihantar oleh rakan Allahyarham. Saya perasaan nadanya begitu sayu, ucapan sayang dan pesan jaga anak-anak yang masih kecil.
“Semasa menghantar hadiah dan kad ucapan hari jadi, dia berada di rumah kawannya di Felda Lepar Utara 1 sebelum bertolak ke Temerloh,” kata ibu tiga anak itu di rumahnya di Felda Lepar Utara 1, di sini semalam.
Nazatul Shazwati berkata, arwah suami bersama adiknya, Allahyarham Fadhlil Syah Sulaiman, 19, dan rakannya, Muhammad Firdaus Zainul Abidin, 20, bertolak ke Temerloh dari Felda Lepar Utara 1 kira-kira pukul 3 petang kelmarin.
Menurutnya, tiada perubahan ketara suaminya, namun sebelum meninggalkan rumah kira-kira pukul 2 petang kelmarin, Allahyarham dilihat begitu ceria dan wajahnya berseri-seri serta minta dipuji selepas memakai pakaian baharu.
“Sehari sebelum itu, saya bermimpi suami memakai baju putih dan saya menegur dan melambai-lambai tangan, tetapi dia seolah tidak peduli dan mengarah saya balik.
“Saya menganggap ia adalah mainan mimpi dan tidak menyangka suami akan pergi selama-lamanya meninggalkan kami,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rahman Zainal Abidin, 31, yang merupakan abang Allahyarham Muhammad Firdaus berkata, adik bongsunya itu beria-ria mahu ke Temerloh untuk makan ikan patin.
Katanya, dia pada mulanya turut menyertai konvoi berkenaan untuk ke Temerloh, namun terpaksa berpatah balik kerana hujan lebat.
“Saya mendapat khabar sedih itu daripada rakan-rakan di Felda Jengka 17 kira-kira pukul 6.50 petang semalam dan bergegas ke lokasi.
“Ketiga-tiga mereka adalah rakan baik yang bekerja buruh ladang Felda dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Utara 1 kira-kira pukul 11 pagi tadi (semalam),” ujarnya.
Kemalangan pada pukul 6.15 petang itu berlaku apabila pemandu kereta dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa.