fbpx

Kontroversi Marissa Dania jadi iktibar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nama anak pelakon popular, Norman Hakim dan Abby Abadi iaitu Marissa Dania Hakim tiba-tiba menjadi hangat.

SEJAK Jumaat lalu, termometer industri hiburan tanah air menggelegak dengan dua isu hangat yang diperkatakan ramai.

Bermula dengan nama anak pelakon popular, Norman Hakim dan Abby Abadi iaitu Marissa Dania Hakim tiba-tiba menjadi hangat apabila seorang wanita mendakwa rumah tangganya hancur disebabkan gadis berusia 18 tahun itu.

Banyak yang ‘dilondehkan’ wanita dikenali sebagai Umisya itu sehingga akhirnya Marissa Dania tampil mengakui kekhilafan diri.

Suhu panas tidak terhenti di situ apabila menyusul pula perkongsian video bapa kepada penyanyi terkenal, Shila Amzah iaitu Datuk ND Lala.

Lelaki itu tampil menjelaskan dengan panjang lebar apa yang berlaku antara dirinya dengan bekas isteri, Fauziah Saman yang disifatkan segelintir netizen persis pengumuman tarikh hari raya.

Kedua-dua topik hangat itu menuai pelbagai reaksi netizen bahkan ada yang menjadikannya bahan lelucon kononnya ‘mata-mata’ mereka sedang membuka kertas siasatan dan keutamaan diberikan kepada kes Marissa Dania, manakala ND Lala diminta berbaris.

Lucu, tapi itulah realiti di sebalik kecanggihan dunia maya. Dengan hanya hujung jari, hal yang sekecil-kecil kuman pun akan jadi sebesar gajah apabila dibicarakan netizen.

Bukan salah siapa yang ingin diutarakan di sini, tetapi apa yang berlaku itu kembali mengingatkan kita kepada perkara asas bergelar anak seni. Apabila melangkah masuk ke dunia hiburan, perlu bersedia dengan apa sahaja kemungkinan kerana mereka milik masyarakat.

Tiada lagi istilah privasi apabila menjadi titik tumpu ramai, apa sahaja yang dikongsi kepada umum ada ‘bayarannya’. Dek kerana itu, ada selebriti memilih untuk hanya berbicara perihal karier dan mengunci rapat sisi peribadi. Saya kira ini satu pilihan yang bijak bagi mengurangkan risiko terpalit kontroversi.

Namun, ramai juga penggiat seni terbuka berkongsi kehidupan di luar lingkungan kerja dengan mendedahkan keluarga untuk tatapan umum di media sosial. Maka, secara tidak langsung pasangan dan anak-anak juga akan terkena tempias populariti seterusnya menjadi tumpuan peminat.

Jika itu jadi pilihan, mereka perlu lebih bersiap siaga kerana apa sahaja yang dilakukan ahli keluarga akan menjadi bahan untuk diperkatakan netizen lebih-lebih lagi hal membabitkan anak-anak. Suka atau tidak, ini antara risiko yang perlu ditanggung apabila terlalu terbuka di media sosial.

Justeru itu, sentiasa ingatkan pasangan dan anak-anak agar menjaga diri dan tingkah laku kerana sekecil apa pun kesilapan sekiranya dihidu pihak luar akan membuka ruang untuk disensasikan.

Berbalik kepada kisah Marissa, saya puji keberaniannya mengakui kesilapan diri dan menegaskan apa yang berlaku adalah atas pilihan sendiri.

Menerusi hantaran di akaun Instagramnya, Marissa turut menekankan bahawa dia akan menyelesaikan sendiri isu tersebut tanpa mengaitkan kedua-dua ibu bapanya yang selama ini sudah pun melaksanakan tanggungjawab mendidiknya dengan baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI