KUANTAN – Kewujudan perkhidmatan bas Rapid Kuantan di bandar raya itu sejak 2012 amat signifikan apabila ia bagaikan menjadi ‘nafas dan nadi’ kepada penduduk di negeri itu.
Rapid Kuantan yang merupakan operator tunggal menguruskan pengangkutan bas henti-henti yang berpusat di Kuantan amat penting kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan pelajar sekolah apabila memberi kesan kepada kehadiran pelajar ke sekolah setiap hari.
Ini dapat dilihat apabila pihak Rapid Kuantan pernah mendapat aduan kehadiran murid di sebuah sekolah hampir kosong apabila basnya di laluan ke sekolah itu berlaku kehilangan trip.
Ia menyebabkan masa perjalanan ke sekolah tergendala dan sesetengah keperluan pelajar tidak dapat dipenuhi.
Ketika ini terdapat 16 laluan bas henti-henti Rapid Kuantan dalam kawasan Bandar Raya Kuantan sehingga ke daerah Pekan, Gambang dan Kuala Pahang yang merupakan laluan penting kepada orang ramai untuk urusan harian selain menghubungkan lokasi tarikan pelancong.
Dengan kadar tambang yang amat berpatutan iaitu antara RM2 hingga RM4 menjadikan operasi bas henti-henti Rapid Kuantan yang dimiliki syarikat Prasarana Malaysia Berhad itu menjadi keperluan masyarakat dan pengangkutan pilihan terbaik.
Selain itu, diskaun 50 peratus turut diberikan kepada warga emas, orang kelainan upaya (OKU) serta pelajar diberikan, manakala bagi penggunaan kad tanpa tunai diberikan diskaun tambang sebanyak 10 peratus.
Ketua Wilayah Timur Rapid Kuantan, Sarifudin Saidin berkata, sejak ditubuhkan hingga kini operasi bas Rapid Kuantan berjalan lancar. Pada masa kini Rapid Kuantan memiliki 40 buah bas dengan 30 buah bas beroperasi setiap hari yang dikendalikan oleh 59 pemandu termasuk seorang pemandu wanita.
“Mengikut jumlah rekod penumpang harian adalah purata 3,000 orang dengan kira-kira 70 peratus adalah pelajar universiti dan sekolah kerana laluan bas di Kuantan meliputi universiti seperti Universiti Malaysia Pahang (UMP) Gambang, UMP Pekan, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Politeknik Sultan Ahmad Shah Kuantan dan berpuluh buah sekolah rendah dan menengah.
“Sebanyak 30 peratus lagi adalah penumpang yang bekerja di pusat bandar raya Kuantan yang berulang-alik dari Pekan, Kuala Pahang, Gambang dan Balok,” katanya di sini baru-baru ini.
Menurutnya, Rapid Kuantan sentiasa berusaha memastikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang dari semasa ke semasa termasuk memastikan semua pemandu mengendalikan bas dengan baik, selamat serta mesra pengguna.
Katanya, setiap pemandu bas yang digelar ‘Kapten’ bukan sahaja menerima latihan intensif ketika mula bekerja malah diberi latihan berterusan oleh pihaknya dalam pelbagai perkara termasuk pemanduan dan pengurusan diri seperti menguruskan tekanan.
“Dalam memastikan keselamatan penumpang juga setiap bas dilengkapi dengan televisyen litar tertutup (CCTV) dalam dan luar serta skrin informasi untuk keselesaan penumpang, malah setiap bas juga adalah mesra OKU,” katanya.
Mengulas mengenai ketepatan masa bas yang menjadi antara faktor penting dalam kepuasan pengguna beliau memberitahu, ketepatan masa menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) syarikat itu yang menyaksikan rekod ketepatan masa terkini di Kuantan adalah 85 peratus.
“Sasaran kami adalah 90 peratus (ketepatan masa) dan situasi jalan yang agak jauh dan kesesakan jalan pada waktu puncak terutama menghala ke Gambang dan Pekan menyebabkan adakalanya bas akan mengalami kelewatan.
“Kami juga menyusun balik jadual perjalanan bas untuk meningkatkan ketepatan masa pada masa akan datang,” katanya.
Mengulas mengenai kemudahan terkini Rapid Kuantan beliau memberitahu, pihaknya telah menyediakan trip tambahan untuk memasuki kampus universiti semasa hujung minggu dan ke destinasi pelancongan seperti Teluk Cempedak dan Pantai Sepat, di sini.
Wanita tunggal jadi pemandu bas henti-henti di Pahang
Satu-satunya pemandu bas henti-henti wanita di negeri ini mengakui peluang menjadi ‘Kapten’ bas Rapid Kuantan begitu bermakna sekali buat individu yang terpilih menyertai syarikat berkenaan.
Nor Zurina Zamri Cheng, 34, yang berkhidmat dengan Rapid Kuantan sejak 2014 berkata, peluang yang diberi oleh Rapid Kuantan kepadanya untuk menjadi pemandu adalah satu pengiktirafan kepada peranan wanita dalam masyarakat seterusnya membuktikan keupayaan golongan itu.
“Saya amat berbangga menjadi pemandu bas Rapid Kuantan dan alhamdulillah setakat ini saya dapat memberikan khidmat terbaik dan mahu terus berkhidmat selagi diperlukan.
“Sememangnya pada mula-mula dahulu agak takut memandu bas apatah lagi dalam keadaan jalan yang sesak, namun kini perasan takut itu hilang dan saya yakin dapat memastikan bas berjalan lancar dan penumpang selamat sampai ke destinasi,” katanya di sini baru-baru ini.
Ibu kepada dua anak itu berkata, peluang menjadi pemandu bas Rapid Kuantan telah mengubah kehidupannya yang sebelum ini bekerja di kedai makan.
Katanya, bukan sahaja mendapat pendapatan yang baik untuk menyara keluarga, malah pelbagai faedah termasuk perubatan yang diterima seluruh ahli keluarga memang amat membantu dalam keadaan kehidupan yang makin mencabar.
“Jika dibandingkan dari segi manfaat memang berbeza berbanding kerja kedai makan, saya bukan sahaja mendapat kerjaya yang baik, malah dapat membentuk diri khususnya disiplin diri,” katanya yang mendapat sokongan suami yang bekerja sebagai pemandu lori.
Sementara itu, Ahmad Shahir Mohd. Sofie, 39, berkata, dia bersyukur kerana hasrat dan cita-citanya menjadi seorang pemandu bas tercapai apabila dipilih sebagai ‘Kapten’ Rapid Kuantan.
Dia yang memulakan kerjaya sebagai pemandu bas di Kuala Lumpur pada 2009 sebelum bertugas di Rapid Kuantan pada 2012 berkata, dia memilih syarikat itu kerana ia merupakan syarikat yang stabil dan menjamin masa depan.
“Pelbagai pengalaman dan ilmu diterima daripada Rapid Kuantan dan saya berhasrat terus bekerja di sini, pendapatan juga amat baik,” ujarnya.