SKOPJE – Aksi sulung Itali di bawah jurulatih baharu, Luciano Spalletti berakhir dengan keputusan kurang memuaskan apabila sekadar seri 1-1 menentang Macedonia Utara pada saingan kelayakan Euro 2024 di Tose Proeski Arena awal pagi semalam.
Walaupun gagal mendapatkan tiga mata, namun Spalletti menganggap ia adalah permulaan baik buatnya bersama skuad Azzurri selain menganggap aksi pemain-pemainnya akan bertambah baik selepas ini.
Beliau berkata, Itali menunjukkan beberapa petanda positif pada perlawanan tersebut meskipun mereka menampilkan aksi kurang meyakinkan, terutamanya ketika berdepan serangan dari pihak lawan.
“Apa yang paling merisaukan adalah kami gagal untuk menyusun semula pertahanan ketika berdepan serangan pihak lawan. Walaupun sudah mendapat bola, namun hantara sering tersekat di bahagian tengah.
“Bagaimanapun, masih ada sesuatu yang positif dan boleh diperbaiki. Antara kelemahan ketara adalah kami kurang sabar untuk melakukan hantaran walaupun Itali memiliki masa dan ruang,” katanya.
Pada perlawanan itu, Itali membuka tirai jaringan menerusi Ciro Immobile pada minit ke-47, namun hasrat mereka membawa pulang tiga mata tidak kesampaian apabila Enis Bardhi menjaringkan gol penyamaan ketika perlawanan berbaki sembilan minit.
“Kami perlu lakukan beberapa perubahan menjelang perlawanan akan datang menentang Ukraine. Saya juga akan keluarkan pemain-pemain yang sudah memiliki kad kuning kerana kami mahu berikan segala-galanya pada perlawanan itu nanti,” ujar Spalletti. – AGENSI