MIRI – “Beta sayang anda semua. Saya, isteri (Raja Permaisuri Agong) dan anak-anak mengucapkan jutaan terima kasih atas sambutan yang cukup hebat daripada orang Miri”.
Demikian titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa singgah Pesta Keramaian Bersama Rakyat di Pantai Bungai Bekenu hari ini sempena hari kedua Kembara Kenali Borneo di Miri.
Seri Paduka turut menitahkan supaya rakyat supaya menjalani kehidupan secara aman damai dan harmoni.
“Saya Agong untuk rakyat Sabah dan Sarawak serta semua. Jadi, perlu bersatu hati, bersatu padu,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah turut meminta rakyat terus menyokong kerajaan sedia ada bagi memastikan pembangunan dan kemajuan negeri dapat dijalankan dengan baik.
“Kena sokong kerajaan ini, senang hendak buat pembangunan dan kemajuan. Saya tak mahu cakap politik. Saya hanya mahu cakap mengenai kasih sayang sahaja,” titah Seri Paduka.
Titah Seri Paduka Baginda disambut dengan sorakan meriah daripada warga Miri yang memenuhi Pantai Bungai Bekenu untuk beramah mesra dengan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta paduka anakanda, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.
Pantai Bungai Bekenu Daerah Subis menjadi ‘pit stop’ hari kedua Kembara Kenali Borneo Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di Miri.
Dalam pada itu, ketibaan rombongan Seri Paduka Baginda turut disambut dengan persembahan kebudayaan, manakala orang ramai juga tidak mahu melepaskan peluang untuk bersua muka dengan Seri Paduka Baginda sekeluarga.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan menandatangani Plak Kembara Kenali Borneo dan merakamkan gambar sebelum bergerak ke Majlis Santap Diraja.
Semasa bersantap, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut disajikan dengan pelbagai persembahan seperti Persembahan Tarian Kaum Kedayan iaitu Tarian Adai-adai, Tarian Rampai Etnik Suku Kaum dan Persembahan Begendang dan Bermukun oleh Pusat Aktiviti Warga Emas Sibuti dan Sekolah Menengah Kebangsaan Berkenu.
Selepas bersantap, Seri Paduka Baginda berdua berkenan melawat ke gerai kraftangan, tapak sukan rakyat, tapak kenduri rakyat dan akhirnya menyertai penari-penari kebudayaan di atas pentas. – KOSMO! ONLINE