HARIMAU Malaya dilihat lulus ujian awal untuk memastikan saingan kompetitif dapat diberikan menentang pasukan ternama Asia selepas berjaya mengikat pasukan ranking ke-80 dunia, China dengan keputusan 1-1 kelmarin.
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon percaya sikap serta mentaliti tidak gentar dengan pemain pasukan lawan menjadi salah satu faktor pasukan dapat mempamerkan aksi luar biasa di Stadium Phoenix Hill, Chengdu itu.
Kata Pan-gon, anak-anak buahnya akan terus mencipta sejarah dalam memastikan kejutan dapat terus diberikan ke atas negara-negara yang berada dalam kelompok ranking ke-100 dunia pada kejohanan akan datang.
“Saya sangat gembira dengan perlawanan ini kerana pemain telah pamerkan aksi bertenaga dan tidak takut dengan pasukan lawan. Mereka bekerja keras dan berusaha untuk buat penyokong Malaysia bangga.
“Kita tahu kualiti yang ada pada China kerana mereka adalah salah satu pasukan terbaik di rantau ini dan pernah bermain di pentas Piala Dunia. Jadi, saya sangat puas dengan aksi agresif yang dipamerkan pasukan,” katanya selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, Pan-gon juga percaya antara resepi kejayaan pasukan adalah sikap harmoni yang ditunjukkan oleh semua pemain kebangsaan tidak kira anak tempatan, naturalisasi atau berdarah warisan.
“Barisan kejurulatihan dan pemain sangat percaya antara satu sama lain. Kekuatan kami ketika ini juga sikap saling membantu antara pemain lokal, naturalisasi serta berdarah warisan dan ini cukup penting untuk memajukan bola sepak kebangsaan,” katanya.
Pada aksi persahabatan antarabangsa kelmarin, skuad negara mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri apabila meraih gol awal menerusi ledakan cantik Faisal Halim sebelum tuan rumah menyamakan kedudukan hasil jaringan Lin Liangming.
Dalam perkembangan sama, pengendali China, Aleksandar Jankovic mengakui kecewa selepas anak-anak buahnya bermain di bawah tahap sebenar dan tidak layak untuk menang pada perlawanan persahabatan itu.
“Secara jujur, saya akui kita tidak layak menang dan saya mohon maaf kepada penyokong yang hadir ke stadium malam ini.
“Pada babak pertama kita tidak bermain dengan baik tetapi berjaya mengawal keadaan pada separuh masa kedua. Saya harap kelemahan ini dapat diperbaiki pada aksi seterusnya menentang Syria nanti,” katanya.
Ini adalah keputusan positif kedua buat negara selepas turut berjaya mengikat negara ranking ke-94 dunia, Syria pada aksi persahabatan pertama dengan keputusan 2-2, Rabu lepas.
Selepas ini skuad negara akan bersaing pada aksi Pestabola Merdeka melibatkan negara di ranking ke-99, India, Palestin (96) dan Tajikistan (106) bermula 13 hingga 17 Oktober depan.