KUALA TERENGGANU – Biarpun sudah lebih setahun berlalu, luka kehilangan motosikal Yahama RXZ sewaktu menyertai Himpunan RXZ Members 4.0 masih berbekas di hati Mohamad Adib Md. Saleh, 32.
Motosikal itu bukan sahaja masih belum dijumpai, malah niat lelaki berasal Kuala Lumpur untuk memiliki semula model sama juga belum kesampaian.
“Saya masih belum mampu membeli motosikal Yahama RXZ baharu sebagai ganti menyebabkan impian untuk menghadiri Himpunan RXZ Members 5.0 berlangsung hari ini (semalam) tidak kesampaian.
“Sebagai mengubat hati, saya memilih untuk bercuti di Pulau Redang, Kuala Nerus bersama rakan pejabat,” katanya semalam.
Kosmo! pada 15 Ogos lalu melaporkan, dua motosikal Yamaha RXZ milik Mohamad Adib dan rakannya, Muhamad Nor Hafiz Yahaya yang diletakkan di kawasan inap desa disewa mereka di Pak Tijah, Kuala Nerus telah dicuri sehari selepas menyertai Himpunan RXZ Members 4.0.
Mohamad Adib mengakui, hatinya sedikit sayu sewaktu melalui Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus ketika dalam perjalanan ke Jeti Merang, Setiu untuk ke Pulau Redang kelmarin.
“Masih terngiang kenangan tahun lalu, apatah lagi motosikal Yahama RXZ yang dicuri itu paling disayangi dan mempunyai nilai sentimental terhadap saya dan keluarga.
“Pada asalnya motosikal itu dibeli bapa dengan harga RM5,000 pada 1991 dan menjadi kegunaan abang-abang saya sebelum dijual pada tahun 2000,” ujarnya.
Mohamad Adib berkata, dia kemudiannya membeli semula motosikal Yahama RXZ itu dengan harga RM6,000 setelah terjumpa semula 21 tahun kemudian.
Katanya, sebaik dapat memilikinya semula, dia telah berhabis kira-kira RM25,000 untuk membaiki semua motosikal Yamaha RXZ tersebut dengan alat ganti baharu.
“Malangnya, hampir setahun selepas itu, motosikal itu dicuri. Lebih pedih ketika menyertai himpunan. Begitupun saya anggap ia suratan takdir dan berniat memiliki semula Yahama RXZ suatu hari nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE