GENEVA, Switzerland – Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) menyatakan bahawa harga beras antarabangsa mencatat lonjakan hampir 10 peratus antara Julai hingga Ogos 2023, lapor akhbar Khmer Times kelmarin.
Kenaikan tersebut adalah yang paling tinggi dalam tempoh 15 bulan.
Bagaimanapun, kata agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tersebut, harga makanan secara keseluruhan susut lebih dua peratus dalam tempoh sama.
Dalam satu kenyataan di Rom, FAO menyatakan, Indeks Harga Semua Beras melonjak 9.8 peratus dari Julai lalu dan mencerminkan gangguan terhadap perdagangan beras selepas India yang merupakan pengeksport beras terbesar dunia, melarang eksport beras putih Indica.
“Ketidaktentuan tentang tempoh larangan New Delhi dan kebimbangan terhadap sekatan eksport tersebut mendorong pembekal-pembekal terus menyimpan stok, merundingkan semula kontrak beras atau berhenti membuat tawaran harga,” demikian menurut kenyataan FAO.
India menyumbang hampir 40 peratus daripada perdagangan beras global pada 2022, merangkumi jumlah eksport 22 juta tan bernilai sekitar AS$9.66 billion (RM45.17 bilion), manakala beras negara berkenaan dieksport ke-140 negara di seluruh dunia.
Jumlah itu termasuk 4.5 juta tan beras basmati, 8 juta tan beras rebus, 6 juta tan beras putih bukan basmati dan 3.5 juta tan beras hancur.
FAO juga mengurangkan unjuran pengeluaran beras pada musim ini melibatkan Indonesia, Thailand dan China, namun kekurangan itu dijangka diimbangi peningkatan pengeluaran oleh negara-negara lain termasuk Kemboja.
Penggunaan beras dunia untuk 2023 hingga 2024 kini ditambat pada kadar 520.9 juta tan, meningkat 800,000 tan berbanding unjuran pada Julai lalu dan secara amnya stabil dari tahun ke tahun. – Agensi