PETALING JAYA – Restoran nasi ayam ‘claypot’ yang tular di media sosial kerana didakwa menggunakan bahan tidak halal bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam kenyataan di Facebooknya berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis tersebut.
“Ketika ini ditularkan melalui media sosial berkenaan dengan status halal sebuah premis makanan di Sri Petaling yang menggunakan ‘Rice Wine’ dalam masakan.
“Isu ini telah menimbulkan keresahan di kalangan pengguna Muslim yang mengunjungi premis tersebut.
“Berdasarkan semakan melalui Portal Halal Malaysia, premis tersebut bukan pemegang SPHM yang sah dan pihak Jakim tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis tersebut,” katanya.
Tambahnya, pengguna Muslim dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dalam memilih premis makanan yang ingin dikunjungi.
“Pastikan premis yang dipilih merupakan pemegang SPHM yang sah daripada Pihak Berkuasa Berwibawa Pensijilan Halal Malaysia,” ujarnya.
Orang ramai boleh layari Portal Rasmi Halal Malaysia di https://www.halal.gov.my/v4/. Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar Verify Halal untuk mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki SPHM.
Terdahulu Kosmo! melaporkan tindakan seorang peniaga menggunakan bahan dikhuatiri tidak halal di dalam masakannya menerima kecaman orang ramai.
Makanan yang dijual oleh peniaga itu baru-baru ini tular di media sosial apabila seorang pempengaruh membuat ulasan makanan nasi ayam ‘claypot’ yang dijual peniaga tersebut di sebuah restoran.
Difahamkan, peniaga itu mendakwa makanan yang kebiasaannya dimakan oleh bangsa Cina itu dijadikan versi halal supaya pelanggan beragama Islam turut dapat menikmatinya.
Bagaimanapun, ada pengguna media sosial mendakwa peniaga itu sebelum ini telah menggunakan bahan tidak halal di dalam masakannya iaitu wain untuk memasak sebelum menukar bahan itu kepada minyak bijan sebaik sahaja restorannya tular. – KOSMO! ONLINE