PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan untuk membuka kuota pengambilan pekerja asing seramai 7,500 orang bagi memenuhi keperluan tenaga kerja tiga sub sektor iaitu perkhidmatan tukang gunting rambut, tekstil dan tukang emas di negara ini.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, perkara tersebut diputuskan pada mesyuarat bersama antara Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 27 Jun lalu berdasarkan pengumuman Perdana Menteri berhubung pembukaan semula pengambilan pekerja asing tiga sub sektor tersebut yang dibekukan sejak 2009.
Katanya, langkah itu bertujuan bagi menghentikan kecenderungan majikan menggajikan warganegara asing tanpa dokumen pekerjaan sah yang berpotensi besar berlakunya eksploitasi dan amalan buruh paksa.
“Bagaimanapun, pembukaan semula ini tidak bersifat menyeluruh dan akan berlandaskan kepada keperluan sebenar sub sektor tersebut.
“Kedua-dua kementerian ini serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperhalusi mekanisme bersesuaian pelaksanaan proses ini memandangkan kerajaan pada masa ini menghentikan permohonan dan kelulusan kuota pekerja asing,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Jelasnya, mekanisme yang dibangunkan menitik beratkan perkara-perkara seperti berkaitan permohonan tertakluk kepada perincian kuota yang ditetapkan dengan pihak industri yang diselaraskan KPDN selaku agensi kawal selia.
Ujarnya, permohonan pekerja asing akan mengikut prosedur sedia ada dari segi saringan majikan di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955 dan verifikasi untuk kelulusan kuota termasuk melalui proses temu duga bersama KPDN.
“Saya yakin pengumuman ini akan membantu pengusaha masyarakat India yang terkesan selama ini akibat kesukaran mendapatkan pekerja tempatan.
“(Kekangan itu) sehingga menjejaskan kelangsungan operasi perniagaan serta berhadapan dengan risiko menutup perniagaan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE.