PASUKAN Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) berjaya dinobatkan selaku pasukan bebas terbaik dua tahun berturut-turut selepas tampil dengan aksi cemerlang sepanjang tahun ini.
Prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali berbangga dengan pencapaian mereka musim 2020 menerusi kedua-dua pelumbanya, Fabio Quartarao dan Franco Morbidelli selepas masing-masing meraih tiga kemenangan.
“Sangat gembira melihat Morbidelli meraih kemenangan ketiga musim ini terutama dalam perlumbaan di mana dia tampil dengan cemerlang hingga pusingan terakhir pada Grand Prix (GP) Valencia.
“Quartararo pula gagal menamatkan perlumbaan, mudah-mudahan dia dapat menamatkan saingan tahun ini dengan keputusan baik dalam perlumbaan akhir minggu depan di Portugal.
“Sebagai satu pasukan, kami sangat gembira dapat meraikan gelaran kedua sebagai pasukan satelit terbaik. Tahniah kepada semua yang terlibat terutama kru, penaja dan peminat.
“Bagi saya tahun ini merupakan perlumbaan yang sengit dan kami berusaha untuk teruskan sehingga ke perlumbaan terakhir, tapi sayangnya kami tidak dapat melakukannya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Meskipun masih ada satu lagi pusingan perlumbaan, SRT sudah sah dinobatkan sebagai pasukan satelit terbaik selepas mengumpul 230 mata berbanding Pramac Racing di kedudukan kedua dengan 163 mata. Pasukan LCR Honda di tempat ketiga dengan 134 mata.
Razlan turut mengucapkan tahniah kepada pasukan Suzuki selepas Joan Mir meraih gelaran dunia pertama di Valencia semalam.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Suzuki dan Mir kerana berjaya merangkul kejuaraan dunia MotoGP. Mereka telah melakukan pekerjaan yang hebat,” katanya.