SERI ISKANDAR – Sebanyak 94 kompaun bagi kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, kompaun yang dikeluarkan itu membabitkan pelbagai kesalahan antaranya tidak memakai pelitup muka, tidak mencatat suhu, tidak meletakkan kod imbasan di premis, tidak ada penjarakan sosial serta operasi melebihi waktu yang dibenarkan.
“Saya berharap agar warga Perak Tengah menjadikan jumlah kompaun yang dikeluarkan ini sebagai jumlah kompaun terakhir. Kami tidak mahu mengambil tindakan pada waktu sukar begini, tetapi patuhilah SOP dan patuhi norma baharu yang ditetapkan.
“Memang bukan mudah untuk kita membiasakan diri dengan norma baharu, tapi kita wajib untuk mematuhi SOP demi keselamatan semua,” katanya. – K! ONLINE.