KIGALI, Rwanda – Polis Rwanda menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang didakwa membunuh lebih 10 orang dan menanam kesemua mayat mangsa di dalam dapur rumahnya.
Akhbar Saudi Gazette melaporkan semalam bahawa jenayah itu terbongkar ketika polis cuba mengusir suspek dari rumah sewanya di Kicukiro, Kigali.
Mereka pada awalnya menerima laporan bahawa suspek tidak membayar sewa rumah selama berbulan-bulan.
Seorang anggota polis memberitahu, kesemua mangsa merupakan pekerja seks lelaki dan wanita.
Kes pembunuhan jarang berlaku di Rwanda dan kejadian itu mengejutkan seluruh negara.
Polis memberitahu akhbar The New Times bahawa lelaki itu melawan ketika mereka cuba mengusirnya pagi Isnin lalu.
“Dia meminta maaf dan menangis teresak-esak. Kelakuannya menimbulkan syak wasangka kami.
“Di balai polis, dia akhirnya mengaku membunuh beberapa orang sekali gus mendorong Biro Siasatan Rwanda (Rib) melakukan siasatan,” kata polis.
Beberapa mayat telah ditemui namun jumlah sebenar mangsa hanya akan diketahui selepas siasatan forensik selesai, kata jurucakap Rib, Thierry Murangira.
“Dia (suspek) mengumpan mangsa dengan kebanyakan mereka pelacur ke rumahnya di mana mangsa akan dirompak, dicekik hingga mati sebelum mayat mereka ditanam di dalam lubang yang digali di dapur rumah sewanya,” jelas Murangira. – Agensi