fbpx

32 permohonan pusat tahfiz Selangor tidak lulus spesifikasi keselamatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Tiada pintu keluar dan laluan bagi anggota bomba melakukan penyelamatan antara penyebab penolakan permohonan pelan bangunan komersial bagi 32 pusat tahfiz di Selangor.

Pengarah Bomba Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, pematuhan spesifikasi keselamatan kebakaran amat penting bagi mengelakkan sebarang kemalangan jiwa.

Katanya, secara keseluruhan pihaknya telah menerima sebanyak 179 permohonan pemutihan daripada sekolah agama persendirian.

“Namun, hanya 147 daripadanya mendapat kelulusan manakala bakinya telah ditolak. Faktor utama disebabkan tidak mematuhi aspek termasuk kegagalan menyediakan tangga kedua, pintu keluar, alat pemadam api dan pengesan asap selain bekalan air untuk memadam api serta jalan masuk jentera bomba,” katanya ketika ditemui hari ini.

Tambah Wan Md. Razali, pelan kelulusan bangunan itu turut dikuatkuasakan terhadap semua premis komersial yang beroperasi di negara ini.

Justeru, beliau menjelaskan, pihaknya menyediakan kaunter perbincangan kepada pemilik premis sebagai langkah menyelesaikan perkara itu.

“Kita ada pegawai di Bahagian Keselamatan Kebakaran yang akan menelitinya dari segi kehendak dan keperluan kebombaan itu sendiri. Semua premis bangunan wajib mematuhi peraturan ditetapkan dan mendapat kelulusan daripada bomba,” ujarnya.

Kerajaan Selangor sebelum ini meluluskan garis panduan dan pemutihan sekolah tahfiz pada Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor pada 21 Disember 2020 dan mula dikuatkuasakan 1 Januari 2021.

Usaha kerajaan negeri itu turut mendapat sokongan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang dianggotai 478 sekolah agama persendirian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI