PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Pengasas Pertiwi Soup Kitchen, Datuk Munirah Abdul Hamid yang telah kembali ke Rahmatullah pada 4 September lalu.
Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarhamah dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarhamah sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu itu.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” kata Istana Negara hari ini.
Menurut lstana Negara, Allahyarhamah Munirah amat dikenali aktif berkecimpung sebagai pekerja sosial sejak berusia 17 tahun dalam menyelami masalah hidup golongan gelandangan.
“Sepanjang lebih 50 tahun dalam kerja-kerja amal, Allahyarhamah banyak menyumbang kepada masyarakat, terutama untuk kebaikan wanita dan kanak-kanak dalam pendidikan.
“Pertiwi Soup Kitchen yang diasaskan pada 2010 menjadi landasan kepada Allahyarhamah untuk mendekati golongan sasaran dengan mengedar makanan kepada yang kurang bernasib baik,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE