PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga mangsa nahas yang mengorbankan enam beranak di Jalan Segamat-Kuantan, Jumaat lalu.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi kepada waris keluarga tersebut, Abdurrahman Amir Ruddin, 19.
Semalam Setiausaha Politik saya saudara Ahmad Farhan Fauzi mengunjungi adik Rahman yang baru kehilangan seluruh ahli keluarganya tatkala terlibat dalam satu kemalangan jalanraya di Jalan Segamat-Kuantan pada Jumaat yang lepas.
“Lebih malang adiknya saudara Abdullah kini dirawat di Unit Rawatan Rapi di Hospital Segamat, Johor.
“Saudara Farhan turut menyampaikan sumbangan dari pihak saya bagi mereda ujian dan beban yang ditanggung Rahman,” katanya di laman Facebook hari ini.
Pada hantaran tersebut, Anwar turut memohon agar semua membantu dan mendoakan Rahman agar kekal kuat semangat dan tabah menghadapi ujian.
“Semoga ahli keluarganya dikurniakan keampunan dan diberi tempat yang istimewa di sisi Allah,” katanya.
Sebelum ini Kosmo! enam sekeluarga terkorban dalam kemalangan menyayat hati membabitkan lima buah kenderaan di Kilometer 5, Jalan Segamat – Kuantan, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, nahas berlaku pada pukul 6.37 petang itu meragut nyawa pemandu Perodua Alza, Amir Ruddin Ismail, 46.
Turut terkorban isterinya, Norahimah Noor Muhamad, 43; dan empat anak mereka, Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah,13; Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5. – KOSMO! ONLINE