fbpx

Petaka jadi keldai dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM PETAKA

KEKAYAAN dan kemewahan tiada nilainya jika dibandingkan dengan pengorbanan serta kasih sayang seorang ibu.

Biarpun kudratnya memudar menjelang usia senja tetapi doa seorang ibu tidak pernah lekang mengiringi setiap langkah si anak.

Begitulah kuatnya kasih seorang ibu terhadap anak yang menjadi ramuan utama dalam Petaka arahan Azhari Zain.

Filem berkenaan bakal menemui penonton menerusi Astro First saluran 480 bermula awal Disember ini.

Bukan sekadar naskhah air mata biasa sementelah peranan utama dijayakan seniwati popular Wan Maimunah, filem tersebut juga sarat pengajaran yang boleh dijadikan pedoman hidup.

WAN MAIMUNAH bersama Jaja Iliyes dan Azman Ahmad dalam sebuah babak filem Petaka.

Menurut Azhari Zain, skrip filem berkenaan dihasilkan oleh pelakon Azman Ahmad yang turut beraksi dalam Petaka.

Katanya, plot penceritaan filem tersebut berdasarkan kisah benar, namun telah diolah dengan memasukkan elemen komersial agar dapat memenuhi cita rasa penonton.

“Sebelum ini saya telah beberapa kali bekerja dengan Azman Ahmad dalam penghasilan skrip. Setelah berbincang maka terhasillah filem Petaka.

“Pada awalnya filem ini bertajuk Syurga Ini Milikmu tetapi selepas dinilai semula mengikut plot penceritaan, nama Petaka lebih sesuai selain mempunyai maksud mendalam,” katanya ketika ditemui dalam satu sidang akhbar baru-baru ini.

FILEM Petaka bakal menemui penonton menerusi Astro First bermula Disember nanti.

Penggambaran waktu Covid-19

Mengulas lanjut, Azhari Zain turut berkongsi pengalaman menjalani penggambaran di Jitra, Kedah yang pada masa sama heboh dengan kemunculan kluster Sivagangga, Ogos lalu.

Terkesan dan turut khuatir dengan perkhabaran semasa, Axzhari bagaimanapun tidak panik. Dia sebaliknya memberi penekanan terhadap keselamatan pelakon dan tenaga kerja terlibat dengan memastikan proses penggambaran dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Mengambil masa selama 12 hari penggambaran, Azhari juga memastikan setiap pelakon dan kru terlibat sentiasa dibekalkan dengan pelitup muka, cecair sanitasi tangan dan sarung tangan.

Pada masa sama dia juga mengehadkan jumlah bilangan pelakon dan tenaga kerja yang terlibat sewaktu di lokasi penggambaran.
“Ini kerana, penggambaran dilakukan di sebuah kedai perabot yang terletak berhampiran dengan sekatan jalan raya ekoran kejadian kluster Sivagangga di Napoh.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang turut terlibat menjayakan filem ini. Meskipun sibuk dengan penularan wabak Covid-19, tetapi atas kerjasama dan tolak ansur semua pihak, segala perancangan berjalan lancar,” katanya.

AZHARI (memakai fon kepala) tekun ketika berada di lokasi penggambaran Petaka pada Ogos lalu.

Petaka mengisahkan Sham, merupakan seorang pemuda jujur dan naif yang secara tidak sengaja terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah.

Disebabkan mahu keluar dari kancah dadah, ahli keluarga Sham menjadi mangsa. Mereka dibelasah sehingga menyebabkan ibunya meninggal dunia.

Filem terbitan Arie Zaharie Production Sdn Bhd dan AA Success Pictures Sdn. Bhd. tersebut turut dibintangi aktres hebat Nabila Huda, dibantu oleh PU Azman, Jaja Iliyes, Danish Danieal @ Coki dan Zali Shuhali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI