PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan cuaca buruk di beberapa buah negeri, pagi ini.
Menurut hantaran di laman sesawang MetMalaysia, hujan lebat, ribut petir dan angin kencang hanya akan melanda beberapa kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Di Semenanjung, ribut petir diramal berlaku di satu dua tempat di Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, manakala di Kedah hujan dijangka melanda di beberapa tempat.
“Cuaca buruk itu juga dijangka melanda satu dua tempat di kawasan pantai Pulau Pinang dan Perlis.
“Namun begitu, tiada hujan diramal berlaku di Terengganu, Kelantan, Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya,” katanya dalam hantaran sama.
Menurut laporan sama, ribut petir turut diramal berlaku di satu dua tempat di Sabah melibatkan Pedalaman, Pantai Barat dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Hujan lebat pula diramal berlaku di satu dua tempat di Miri dan Limbang, Sarawak,” katanya. – KOSMO! ONLINE