KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan rasuah RM2.8 juta daripada dua ejen pelaburan unit amanah Public Mutual lapan tahun lalu.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Bung dan Zizie untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri pada 2 September tahun lalu.
Dalam penghakimannya, hakim itu berkata Mahkamah Tinggi menerima permohonan Bung dan Zizie selaku pemohon itu selepas mendapati keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan kedua-dua pemohon untuk membela diri (pada 2 September tahun lalu) adalah salah laksana keadilan.
“Adalah betul dan wajar bagi mahkamah melaksanakan kuasa semakan mengikut Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah.
Saya dengan ini mengguna pakai Seskyen 325 Kanun Prosedur Jenayah bagi melepas dan membebaskan kedua-dua pemohon, “ katanya.
Justeru dengan keputusan itu, perintah Mahkamah Sesyen yang memerintahkan pasangan itu membela diri sebelum ini diketepikan.
Sementara itu, Bung ketika ditemui selepas prosiding bersyukur dia dan isteri dibebaskan daripada pertuduhan itu selepas berjuang dalam perbicaraan yang berjalan selama lima tahun dan yakin Mahkamah Tinggi telah mengadili kes itu sebaik mungkin.
Pada masa sama Bung berkata, dia tidak dapat menolak tanggapan dan persepsi orang ramai yang akan mengaitkannya dengan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Ia tidak berkaitan sama sekali, tiada sebab Zahid (Ahmad Zahid) dibebaskan, saya mesti dibebaskan,” katanya.
Ditanya adakah pertuduhan ke atasnya bermotifkan politik, Bung tidak menafikan dan mengakui ia memang ke arah itu.
“Terima kasih kepada pasukan peguam dan kepada semua yang mendoakan saya di seluruh negara. Terima kasih banyak-banyak semoga Allah membalas budi baik mereka,” katanya.
Pada 3 Mei 2019, Bung, 65, didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu juga didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.
Zizie, 45, pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.
Kemudian Mahkamah Sesyen pada 2 September tahun lepas, memerintahkan Bung dan Zizie membela diri atas pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta melibatkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Ini mendorong mereka untuk memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi. Namun, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan yang difailkan pasangan itu tanpa mendengar merit permohonan tersebut.
Berikutan penolakan Mahkamah Tinggi terhadap permohonan semakan itu, mereka memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Bagaimanapun pada 7 julai lalu, Mahkamah Rayuan di Putrajaya telah mengembalikan semula permohonan semakan yang difailkan Bung dan Zizie ke Mahkamah Tinggi untuk mendengar merit permohonan itu. – KOSMO! ONLINE