KUALA LUMPUR – Pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel and Tours (Andalusia) menafikan dakwaan syarikatnya menaja Abang Tesla dan rombongannya untuk menunaikan umrah.
Andalusia dalam satu kenyataan berkata, dakwaan yang dilemparkan terhadap syarikatnya adalah tidak benar.
“Abang Tesla dan keluarga membayar sepenuhnya kos percutian dan umrah (Pakej Umrah Ziarah Istanbul Bursa) mereka sendiri.
“Kami hanya menyediakan perkhidmatan pakej umrah ziarah kepada pelanggan kami yang ingin menunaikan umrah,” katanya, hari ini.
Sehubungan itu, pihaknya berharap dakwaan tersebut dapat dihentikan dengan segera di samping memohon maaf atas sebarang kekeliruan yang timbul.
Terdahulu pempengaruh media sosial kontroversi, Abang Tesla atau nama sebenarnya Muhammad Khal Iltizam Yusry akhirnya mendedahkan wajah isteri keduanya sejak bernikah pada 18 Ogos lalu.
Menerusi satu hantaran di akaun Instagramnya, satu gambar dimuat naik Abang Tesla bersama kedua-dua isterinya sebelum berangkat menunaikan umrah dan melancong ke Turkiye. -KOSMO! ONLINE.