LONDON – Lirik asal lagu hit kumpulan Queen berjudul Bohemian Rhapsody dibeli lebih £1 juta (RM5.83 juta) oleh seorang pembida dalam lelongan barangan peribadi Freddie Mercury oleh firma Sotheby’s di London, lapor portal brita metro.co.uk semalam.
Bidaan untuk lebih 1,000 barangan milik penyanyi legenda itu bermula malam semalam dengan para peminat membelanjakan lebih £12 juta (RM69.96 juta) pada malam pertama jualan.
Antara barangan dilelong termasuk piano Yamaha Baby Grand, pakaian, karya seni dan sepasang kasut milik mendiang yang diserahkan kepada bekas tunangnya, Mary Austin selepas dia meninggal dunia.
Harga tertinggi memorabilia mendiang pada malam itu ialah piano tersebut yang pernah digunakan Mercury untuk mencipta lagu Bohemian Rhapsody, Don’t Stop Me Now dan Somebody to Love. – AGENSI