fbpx

Produk kesihatan bernilai RM8.3 juta dirampas di Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RUSDI (tengah) menunjukkan produk kesihatan tidak berdaftar yang dirampas dalam Ops Pharma pada sidang akhbar di Ayer Keroh, Melaka hari ini. - Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/ KOSMO!

MELAKA – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) merampas sebanyak 642 produk kesihatan tidak berdaftar dan lima peranti digital bernilai RM8.3 juta menerusi Ops Pharma, semalam.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, jumlah itu merupakan rampasan terbesar yang direkodkan di Melaka setakat ini.

Katanya, serbuan dilakukan pada pukul 2 petang sehingga 10 malam membabitkan tujuh premis di sekitar bandar Melaka yang menjual produk mengandungi steroid anabolik dan tidak berdaftar.

“Produk yang dirampas diperoleh daripada pelbagai negara, kita percaya ia dijual secara tidak sah untuk pasaran dalam negara.

“Modus operandi mereka adalah menjual produk secara dalam talian melalui rumah kedai, rumah serta bangunan yang dijadikan stor. Mereka dipercayai aktif sejak lebih dua tahun,” katanya pada sidang akhbar Ops Pharma di sini, hari ini.

Operasi itu dibuat berdasarkan aduan orang ramai dan risikan selama dua tahun, namun tiada tangkapan dibuat. JKNM mengenal pasti dua suspek lelaki termasuk seorang warga asing dipercayai terbabit kegiatan tersebut.

“Siasatan lanjut sedang dilakukan, ada kemungkinan pemain-pemain lain yang lebih besar turut terlibat dalam penjualan haram ini,” jelasnya.

Operasi itu turut disertai CPF Negeri Sembilan dan Johor, polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional dan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI