GUA MUSANG – Penduduk Orang Asli Pos Belatim di sini, terus hidup dalam ketakutan apabila kawasan itu diserang gajah liar yang memusnahkan kebun sejak lebih seminggu lalu hingga mengakibatkan mereka kerugian besar dan tak mampu bangkit semula.
Ia merupakan ancaman berterusan selepas penempatan itu diceroboh harimau yang membaham anjing peliharaan mereka.
Penduduk Kampung Kajak, Rahimi Dolah, 45, berkata, gajah liar itu menceroboh kebun pisang dan ubi kayu pada 28 Ogos lalu sebelum bergerak ke Kampung Cacuh.
Katanya, kes terbaharu berlaku apabila gajah berkenaan kembali menyerang kebun mereka pada petang kelmarin.
“Beberapa penduduk terdengar bunyi haiwan dari arah kebun yang terletak kira-kira 300 meter dari kampung yang telah dimusnahkan gajah sebelum ini.
“Kami syak gajah itu ada dua ekor kerana ada kesan tapak kaki berlainan saiz di kawasan itu,” katanya.
Pekebun Kampung Cacuh, Sari Uda, 40, berkata, tanaman di kebunnya dirosakkan gajah liar pada pada 29 Ogos lalu.
Katanya, jarak dari Kampung Kajak ke kebunnya di Kampung Cacuh kira-kira satu kilometer.
“Sudah banyak kali tanaman kami dimusnahkan oleh gajah liar sehingga menyebabkan penduduk menghadapi masalah sumber makanan.
“Penduduk kini risau dengan keselamatan mereka terutamanya anak yang masih kecil sekiranya gajah liar itu berkeliaran di kawasan kampung,” katanya.
Tambahnya, sudah banyak kali gajah liar memusnahkan kebun sehingga penduduk kehabisan modal untuk bangkit semula.
Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menyarankan beberapa garis panduan sekiranya terserempak dengan haiwan liar tersebut.
Katanya, orang ramai harus segera menjarakkan diri dan bersembunyi di belakang pokok atau mengelakkan daripada melakukan provokasi terhadap gajah terbabit.
Tambahnya, Perhilitan turut menasihatkan penduduk agar segera melaporkan kepada pihaknya sekiranya berdepan gangguan berulang.