KOTA KINABALU – Mayat lelaki mula berulat ditemui di dalam sebuah pondok usang di kawasan tapak pelupusan sampah, Kayu Madang, Telipok semalam.
Mayat belum dikenal pasti identiti itu ditemui seorang pemungut sampah yang kemudiannya memaklumkan penemuan terbabit kepada pihak penguat kuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan mayat berkenaan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati mayat masih lengkap berpakaian. Pihak hospital mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia melebihi sehari berikutan keadaan mayat yang mula berulat.
“Siasatan awal juga mendapati mangsa seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an dan ditemui dalam keadaan terbaring di sebuah pondok usang diperbuat daripada kayu.
“Bagaimanapun, saksi yang ditemui tidak mengenali mangsa secara dekat, namun sering melihatnya memungut sampah dan tinggal di dalam pondok terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Zaidi menyatakan pemeriksaan lanjut oleh Unit Forensik Ibu Polis Kontinjen (IPK) Sabah mendapati kematian mangsa tiada unsur jenayah.
Menurutnya, mangsa dihantar ke hospital untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR). – KOSMO! ONLINE