fbpx

Kes gangguan seksual menurun, bimbang ada mangsa tidak lapor polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nancy (tengah) bercakap pada sidang akhbar selepas Program Jerayawara Kasih KPWKM @ Advokasi Antigangguan Seksual Negeri Kelantan di Kota Bharu hari ini. - Foto oleh ROHANA ISMAIL / KOSMO!

KOTA BHARU – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bimbang sekiranya ada mangsa gangguan seksual tidak tampil untuk membuat laporan terhadap kejadian yang menimpa mereka.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kebimbangan dan kesangsian itu berasas apabila kes gangguan seksual yang direkodkan pada tahun lalu menurun berbanding 2021.

Menurutnya, sebanyak 477 kes gangguan seksual dan hanya 11 kes dilaporkan di Kelantan pada tahun lalu.

“Jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 2021 yang mencatatkan sebanyak 506 kes dilaporkan pada tahun tersebut. Statistik mengenai ganguan seksual itu dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Meskipun kes ganguan seksual menurun, saya masih sangsi. Mungkin penurunan kes itu disebabkan oleh mangsa gangguan seksual tidak membuat laporan,” katanya kepada pemberita selepas Program Jerayawara Kasih KPWKM @ Advokasi Antigangguan Seksual Negeri Kelantan di sebuah hotel di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nancy memberitahu, meskipun jumlah kes gangguan seksual yang direkod itu dilihat sedikit,namun kesan terhadap mangsa tidak boleh diambil mudah.

Menurutnya, gangguan seksual tidak pernah mengenal mangsa dan ia boleh berlaku kepada sesiapa atau di mana-mana lokasi sahaja.

“Masalah ini (gangguan seksual) akan memberi kesan kepada mental, kesihatan fizikal, moral dan hubungan mangsa dengan masyarakat.

“Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) digubal sebagai satu manifestasi penting kerajaan bahawa kesalahan gangguan seksual merupakan satu pelanggaran kepada hak asasi manusia,” katanya.

Menurutnya, penggubalan akta tersebut membuktikan bahawa kerajaan serius dalam menangani isu gangguan seksual tersebut.

Tambahnya, sehubungan itu, orang ramai khususnya wanita tidak perlu takut untuk membuat laporan polis sekira menjadi mangsa gangguan seksual. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI