BRUSSELS – Jurulatih Belgium, Domenico Tedesco menganggap keputusannya untuk memanggil penyerang, Romelu Lukaku menjelang dua aksi kelayakan Euro 2024 sebagai sesuatu yang sangat mudah.
Walaupun tidak beraksi dalam sebarang perlawanan pada saingan musim ini, namun beliau percaya Lukaku sentiasa menjalani latihan sebelum melengkapkan perpindahan secara pinjaman ke AS Roma.
Tedesco yakin dengan kemampuan dimiliki Lukaku selain menganggap pemain berusia 30 tahun itu memiliki pengaruh cukup besar dan mampu mengubah suasana bilik persalinan menjelang aksi menentang Azerbaijan di Dalga Arena malam ini.
“Saya tahu dia sentiasa menjalani latihan, termasuk bersama Chelsea dan secara individu. Bagi kami, ia tidak menjadi persoalan untuk saya memanggil dia menyertai latihan bersama skuad kebangsaan.
“Anda semua boleh lihat betapa penting kehadirannya dalam pasukan pada perlawanan terdahulu. Dia bukan sahaja seorang pemain, malah mampu mengubah suasana dalam bilik persalinan kerana dia ada sifat kepimpinan,” katanya.
Kehadiran Lukaku juga dianggap tepat pada masanya selepas ketiadaan Kevin De Bruyne dan Thibaut Courtois yang masih dibelenggu kecederaan, sekali gus menjadikan Lukaku sebagai pilihan utama untuk memakai lilitan kapten.
“Dalam pasukan ini kami memiliki beberapa pemain yang boleh menjadi pemimpin, salah seorang daripadanya adalah Lukaku. Saya percaya dia boleh mengetuai pasukan dalam dua aksi kelayakan ini,” ujar Tedesco. – AGENSI