KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan pihaknya tidak pernah menyebelahi mana-mana parti politik sekali gus menafikan tuduhan ‘polis dicucuk hidung ahli politik’ berhubung siasatan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R).
Menegaskan perkara tersebut, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya bukan sahaja mengambil tindakan terhadap ahli politik, malah siasatan turut dilakukan terhadap orang awam.
“Kita akan mengambil tindakan tanpa rasa takut atau pilih kasih kepada sesiapa yang menyentuh isu 3R.
“Contohnya kes fitnah terhadap Menteri Besar Kedah, kita tangkap tengah malam, (suspek) orang awam dan bukannya ahli politik, mengatakan polis telah dicucuk hidung orang politik itu tidak patut,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Symposium Forensik Kebangsaan kali ke-4 tahun 2023, di Maktab Polis Diraja Malaysia, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Razarudin menjelaskan bahawa kerajaan terdahulu di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menegaskan berkaitan isu 3R.
“Kerajaan sebelum ini juga mengucapkan (larangan) 3R. kita pernah dengan Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan bercakap tentang ini.
“Maknanya, mana-mana kerajaan yang memerintah kita tidak mahu isu 3R dimain dan menjadi kacau-bilau dalam negara.
“Bukan kita kena paksa, kena arah. Terutamanya saya cakap institusi diraja jangan diperkecilkan, difitnah, dihina khusus sembilan Raja-Raja Melayu,” ujarnya.
Dalam perkembangan berasingan, Razarudin mengesahkan polis akan mengambil keterangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa depan berhubung isu ‘fatwa’ politik yang dikeluarkannya.
Muhyiddin sewaktu berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Johor, baru-baru ini didakwa mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan tindakan mengundi bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Suhaizan Kayat sebagai haram. – KOSMO! ONLINE