PETALING JAYA – Seorang ibu meluahkan rasa kecewa dengan layanan sebuah hospital kerajaan di Lembah Klang kerana lambat bertindak ke atas kes kecemasan anaknya.
Berkongsi kisah tersebut, wanita yang dikenali sebagai Nurul Izzah mendakwa, anaknya terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.
Jelasnya, dia ke hospital berkenaan kerana anaknya sawan dan dia terpaksa menunggu dari pukul 11.30 pagi sehingga pukul 3.30 petang untuk mendapatkan rawatan.
“Anak saya kena sawan pagi tadi dan ‘refer’ ke hospital pukul 11.30 pagi. Lepas tu terus masuk ke bahagian kecemasan zon kuning.
“Sampai jam 3.30 petang baru ada doktor datang tanya itu ini dan ambil darah. Itu pun sebab saya bising kuat-kuat dengan pesakit sebelah.
“Sebelum tu tak ada siapa pun datang. cuma ada sorang staf (jururawat) je datang ambil tekanan darah masa mula-mula sampai,” kongsinya di media sosial.
Tambah Nurul Izzah, dia paham situasi di unit kecemasan yang terlalu sibuk, tetapi untuk pemeriksaan awal mengapa kena tunggu sehingga empat jam.
“Yang paling saya kecewa pukul 4 petang anak saya kena sawan lagi sekali, lepas tu baru la jururawat pasang oksigen dan masukkan air ‘drip’.
“Saya tanya buat ni sebab dah dapat keputusan darah ke? Mereka kata keputusan tak keluar lagi. Allah lagilah luluh hati seorang ibu.
“Maksudnya lepas anak saya kena sawan kali kedua baru mereka (kakitangan) perasan ada baby (bayi) yang kena sawan,” luahnya.
Susulan perkongsian itu, rata-rata netizen berkongsi kisah sama semasa mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.
“Datang hospital pukul 7 pagi pun pukul 5 tak ada katil lagi. Budak tiga tahun pulak tu, lambat tak apa ini lembab,” tulis Shafique Achilles II.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Aisyah Humairah.
“Selalu kes sawan ni antara kes yang paling laju doktor bagi rawatan sebab boleh mendatangkan risiko kematian. Kenapa boleh jadi lambat macam tu, saya bawa anak sawan kat kecemasan doktor kerumun siap kena marah lambat datang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE