PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menghadiri Majlis Makan Malam Gala di Jakarta, Indonesia malam tadi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Majlis Makan Malam Gala tersebut dihoskan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dan Wanita Pertama Iriana.
“Ini bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta yang mengambil tempatnya sejak Isnin,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, acara yang diadakan di Hutan Kota di Plataran di Senayan Jakarta itu peluang untuk kesemua pemimpin ASEAN dan negara rakan kongsi bertemu secara santai dan bertukar pandangan.
“Kendatipun pelbagai tantangan mendampingi ASEAN di peringkat glokal, namun saya percaya dukungan, kedekatan dari hati ke hati, pastinya akan menguatkan jalinan persahabatan yang ada agar terus utuh serta kekal maju bersama-sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE