fbpx

Pemandu Mitsubishi Triton maut langgar belakang treler

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN kenderaan pacuan empat roda dinaiki mangsa kemalangan maut yang melanggar bahagian belakang treler dekat susur masuk ke Hentian Sebelah Behrang dekat Tanjung Malim hari ini. - Ihsan PDRM

TANJUNG MALIM – Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 383.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat susur masuk Hentian Sebelah Behrang di sini hari ini.

Nahas sekitar pukul 4 pagi itu mengakibatkan pemandu Mitsubishi Triton, Muhamad Azwan Roslan, 29, tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd. Hasni Mohd. Nasir berkata, kemalangan membabitkan pacuan empat roda dinaiki mangsa bersama dua rakan dan sebuah treler membawa muatan motosikal.

Katanya, kejadian berlaku ketika kenderaan dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Ipoh.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, kenderaan tersebut telah melanggar tepat pada bahagian belakang treler yang berada di tepi jalan.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu dan penumpang hadapan kenderaan pacuan empat roda itu telah tersepit sebelum dikeluarkan oleh pihak bomba,” katanya.

Menurut beliau, mangsa disahkan telah meninggal dunia di lokasi kemalangan manakala dua rakannya masing-masing patah tangan kiri, kaki kanan dan tulang rusuk serta cedera di kepala.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat bersama dua rakannya yang cedera.

“Siasatan awal mendapati pemandu pacuan empat roda itu terlelap dan mengakibatkan kenderaan tersebut melanggar belakang treler.

“Siasatan lanjut bagaimanapun sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI