fbpx

Agong terhibur orang Sabah panggil pak cik Agong, Datin Permaisuri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat tiba pada Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) malam tadi. - Foto ihsan JKM

KOTA KINABALU – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa terhibur dengan ada yang memanggil baginda ‘Pakcik Agong’ dan ‘Abang Agong’ sepanjang Kembara Kenali Borneo di Sabah.

“Saya terharu apabila anak muda panggil saya Pakcik Agong, ada juga yang panggil saya Abang Agong, ada juga panggil gong, gong, gong.

“Tetapi sekurang-kurangnya semua ini menghiburkan saya. Raja Permaisuri Agong juga (dipanggil) Datin Permaisuri, ada pujian-pujian kepada isteri saya, ooh cantik sekali, alhamdulillah,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri Sabah sempena Kembara Kenali Borneo di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) malam tadi.

Keberangkatan tiba Seri Paduka dan Permaisuri ke majlis itu disambut Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan mencuba permainan tradisional pada Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) malam tadi.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, baginda amat gembira dan begitu terharu atas layanan mesra rakyat Sabah sepanjang perjalanan Kembara Kenali Borneo di negeri ini.

“Keramahan rakyat yang saya temui di sepanjang perjalanan terdiri daripada pelbagai etnik dan suku kaum, Kadazandusun, Bajau, Rungus, Tagahas, Kagayan, Murut, Orang Sungai, Iranun, Kadayan, Bisaya, Cocos, saya begitu terharu.

“Saya nak sebut setiap kaum ini kerana setiap kali mereka menghulur tangan, saya mesti salam kerana saya tak tahu dia golongan mana. Pada saya mereka ini semua sama, bagi saya rakyat Malaysia, rakyat Sabah.

“Ini mustahak kerana niat saya adalah merapatkan dan menyantuni setiap kaum, setiap rakyat. Selagi saya mampu menghulur tangan, saya tetap hulur,” titah baginda.

Titah baginda, kembara berkenaan dibuat dan dinamakan sebagai Kembara Kenali Borneo kerana teringin melihat seluruh pelosok Sabah dan Sarawak selepas hanya melawat Kota Kinabalu dan Kuching setiap kali ke kedua-dua negeri sebelum ini.

“Luar dari Kota Kinabalu atau Kuching saya tidak pernah jejak. Jadi saya fikir, umur pun sudah meningkat, saya cuba nak melihat sendiri dengan mata kasar saya bersama keluarga, nak tengok keadaan, nak kenal rakyat Sabah di seluruh pelusuk luar Kota Kinabalu.

“Alhamdulillah, ini sudah saya dapat realisasikan di Sabah mulai 3 September hingga hari ini, saya sudah memandu sendiri kereta sejauh 759 kilometer dan alhamdulillah, pinggang saya masih kuat lagi,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI