fbpx

Ibu, bapa sebak ambil skrol diploma arwah anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Sabri dan Nik Sandora menerima skrol diploma milik arwah anak sulong mereka, Nur Fatihah Mohd Sabri, pada Majlis Konvokesyen Politeknik Port Dickson Ke 30 bagi Sidang 3 Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE), di sini, hari ini. FOTO/ NOR AINNA HAMZAH

PORT DICKSON – Pasangan suami isteri, Mohd. Sabri Harun, 52, dan Nik Sandora Nik Pa, 47, sebak sebaik melangkah ke pentas bagi menerima skrol diploma milik arwah anak sulung mereka, Nur Fatihah Mohd. Sabri pada Majlis Konvokesyen Politeknik Port Dickson Ke-30, di sini hari ini.

Nur Fatihah, 23, antara 583 pelajar yang menamatkan pengajian peringkat diploma dalam bidang Diploma Kejuruteraan Elektrik (Kecekapan Tenaga) dan layak menerima skrol diploma pada sidang ketiga Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE).

Allahyarham meninggal dunia pada 18 Julai lalu susulan sesak nafas ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Menurut Nik Sandora, anaknya itu sudah menanti untuk mendapat panggilan bagi mengambil skrol sejak tahun lalu, namun, disebabkan Covid-19, majlis rasmi ditunda ke satu tarikh yang masih belum dipastikan.

“Anak memang tunggu panggilan, namun belum membuat sebarang persiapan mengambil skrol. Ikutkan, anak memang tidak pernah sakit teruk, namun secara tiba-tiba sakit sesak nafas dan disahkan meninggal dunia di hari kedua mendapatkan rawatan di hospital.

“Memang sedih apabila kami yang mengambil skrol arwah anak. Orang lain boleh melihat anak masing-masing mengambil skrol, sebaliknya kami sendiri mengambil skrol bagi pihak anak kami,” katanya ketika ditemui di Politeknik Port Dickson, di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, pasangan suami isteri berkenaan menerima skrol yang disampaikan oleh mantan Pengarah Politeknik Port Dickson, Mohamad Isa Azhari yang ditemani Pengarah Politeknik Port Dickson, Dr. Ishak Mohamad.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI