PETALING JAYA – Orang ramai diingatkan tidak terperdaya dengan panggilan ataupun mesej yang mengakui dan menyamar sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar terutamanya jika ada perkara melibatkan kewangan atau janji temu untuk berjumpa.
Hal ini berikutan akaun Telegram beliau telah digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak beberapa hari lalu.
Wan Junaidi berkata, beliau telah melaporkan perkara serius tersebut kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.
“Bagi sesiapa yang menerima mesej atau panggilan sebegini, boleh menghubungi pejabat saya di talian 03-2601 7610 untuk pengesahan lanjut.
“Saya amat kesal dengan tindakan penggodam yang tidak bertanggungjawab ini dan berharap agar masyarakat tidak mudah terperdaya dengan penipuan sebegini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih peka dengan sindiket penipuan melalui pelbagai aplikasi media sosial dan turut melaporkan tindakan penggodam tersebut kepada pihak yang berkuasa. – KOSMO! ONLINE