KLANG – Sebanyak enam kesan tembakan mengenai anggota badan seorang lelaki yang maut dalam kejadian di hadapan sebuah kedai di Jalan Hamzah Alang, Kapar di sini hujung bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, hasil pemeriksaan mendapati lima das tembakan pada kepala dan satu di bahagian badan mangsa berusia 36 tahun itu.
“Semua sekali ada enam iaitu lima tembakan di kepala dan satu di badan. Bagaimanapun motif kejadian masih dalam siasatan polis,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, hari ini.
Menurut beliau, keenam-enam suspek berusia 20 hingga 40an yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan selepas direman empat hari dengan jaminan termasuk dari mahkamah semalam.
Ujarnya, salah seorang daripadanya dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 kerana mempunyai tatu di anggota badan yang disyaki ada kaitan dengan kongsi gelap.
“Keenam-enam ini adalah rakan si mati dan mengenali antara satu sama lain. Jadi sesiapa yang ada di tempat kejadian sebelum mangsa mati, kita ambil dan soal siasat mereka.
“Kita sedang mengesan individu lain namun setakat ini belum ada tangkapan. Kes masih dalam siasatan dengan mendapat bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Bukit Aman serta berharap dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya.
Vijaya Rao menjelaskan tiada sebarang rampasan atau penemuan senjata daripada kes tersebut dengan 10 keterangan telah diambil termasuk dari ahli keluarga, jiran dan rakan rapat mangsa.
Kosmo! pada 31 Ogos lalu melaporkan seorang lelaki yang memiliki 12 rekod jenayah lampau ditemui mati di tembak di Jalan Hamzah Alang, Kapar sebelum menahan enam individu di sekitar Kapar bagi membantu siasatan kes tersebut. -KOSMO!ONLINE