KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menjalankan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung ucapannya berkaitan ‘fatwa’ politik dalam ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kempas, Johor, Sabtu lalu.
Beliau menerusi ceramah PRK itu menyifatkan tindakan mengundi bekas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kayat sebagai haram.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, temujanji untuk rakaman percakapan Muhyiddin Yassin ditetapkan pada 11 September ini.
“Rakaman percakapan akan dijalankan di pejabat beliau di bangunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), KL Sentral.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan / Undang-undang (D5), JSJ Bukit Aman,”katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Mohd. Shuhaily, sepanjang tempoh berkempen mulai 28 ogos sehingga 5 september 2023, satu laporan kertas siasatan dibuka melibatkan isu agama, raja dan kaum (3R).
“Siasatan ini berkaitan ucapan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyentuh institusi diraja dengan mempertikai kuasa lembaga pengampunan.
“Siasatan telah lengkap dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh terdekat,”jelasnya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan platform tersebut dengan menyalahi undang-undang.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE