ALOR SETAR – “Kami sendiri tak tahu apa amalan arwah tetapi dia seorang anak yang taat, baik dan suka tolong orang”.
Demikian ungkapan anggota keluarga pelumba drag, Muhammad Hattem Rashdi, 22, yang meninggal dunia dalam kecelakaan ketika menyertai Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023 di Pekan, Pahang, Ahad lepas.
Menurut kakak arwah, Noor Amalia Rashdi, 27, keluarganya sendiri terkejut dengan kehadiran kira-kira 3,000 orang termasuk rakan dan pengikut media sosial dari seluruh negara untuk menziarahi jenazah arwah.
Katanya, adiknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Padang Lalang, Alor Janggus di Kuala Kedah, dekat sini hari ini.
“Seawal pukul 4 pagi selepas berita kematian arwah tersebar, orang ramai sudah membanjiri pekarangan rumah kami termasuk rakan-rakan dan pengikut media sosialnya dari Johor, Kelantan, Pahang dan Pulau Pinang.
“Entah apa kebaikan yang arwah buat tetapi di mata kami arwah seorang anak yang sangat taat dan baik. Dia juga tak lokek ilmu,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Padang Lalang, Alor Janggus, hari ini.
Jenazah Allahyarham Muhammad Hattem dikebumikan pada pukul 12 tengah hari tadi setelah disembahyangkan di masjid berkenaan.
Terdahulu jenazah Muhammad Hattem diusung oleh rakan-rakannya ke masjid berkenaan dari rumah mereka yang terletak kira-kira 250 meter.
Menurut Noor Amalia, rakan-rakan dan pengikut arwah meminta keizinan untuk mengusung sendiri jenazah ke masjid berkenaan sebagai penghormatan terakhir mereka.
Bercerita lanjut kata seorang lagi kakak Muhammad Hattem, Noorasyikin, 36, arwah menunjukkan sikap agak luar biasa apabila keluar dari rumah untuk ke Pekan pada pukul 4 petang, Jumaat lepas.
“Tidak seperti biasa, arwah keliling rumah bersalam dengan kami termasuk dengan datuk dan nenek. Arwah ada cakap dekat mama, doakan ceq. Itulah kata-kata terakhir arwah sebelum pergi.
“Mula-mula memang tak terasa perubahan tetapi selepas berlaku kejadian baru kami sedar, arwah pun nampak gelisah sebelum keluar rumah. Seolah-olah tak mahu tinggalkan kami. Arwah keluar pukul 4 petang tiba-tiba dia patah balik rumah sebab tertinggal topi. Kami pun rasa lain tapi tak mahu fikir apa-apa,” ujarnya.
Dalam pada itu menurut ibu mangsa, Muniroh Ahmad, 58, walaupun kehilangan anak bongsunya itu dalam keadaan tragis, namun mereka reda.
“Saya tonton ‘live’ (siaran langsung) perlumbaan itu, saya nampak arwah terjatuh tetapi saya ingat tak serius sebab bukan kali pertama arwah kemalangan tetapi hati saya rasa tak sedap apabila ‘live’ itu tiba-tiba ditamatkan.
“Saya terus menelefon adik yang mengiringi arwah ke perlumbaan itu sebelum dia menunjukkan gambar kemalangan. Kami rasa tak sedap hati dan terus berangkat ke Kuantan,” katanya.
Tambahnya, Muhammad Hattem terlibat dengan sukan berkenaan sejak 2016. – KOSMO! ONLINE
@apittt0 alhamdulillah selesai🤲#alhamdulillah #arwah #hattemrashdi #fyp #esrmotor ♬ bunyi asal – apit🇸🇦