PETALING JAYA – Anak sulung kepada empat beradik yang maut bersama ibu bapa di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Segamat tidak dapat menahan sebak apabila menerima al-Quran adiknya.
Menerusi video yang dimuat naik oleh Pemuda Pas di akaun Facebook, al-Quran tersebut diserahkan oleh Ustaz Naufal yang mengajar di maahad adiknya, Fatimatulzahrah, 17, kepada Abdurrahman Amir Ruddin, 19.
Di dalam al-Quran hafalan tersebut, tercoret warkah arwah ibunya tanda syukur Fatimah tamat menghafal 30 juzuk al-Quran.
“Kesedihan yang terlalu mendalam terhadap kerinduan yang teramat sangat kepada keluarganya tidak dapat lagi disembunyikan oleh Adik Rahman.
“Jelas terpapar wajah adik Rahman yang kuat dalam berhadapan ujian yang cukup berat apabila kehilangan seluruh keluarganya serentak dalam sebuah kemalangan maut.
“Ketika kami disambut oleh beliau, wajahnya ceria menyambut kami walaupun keceriaan itu tersimpan seribu duka,” katanya.
Dalam pada itu, Pemuda Pas turut sempat mengucapkan takziah atas ujian yang berat kepada Abdurrahman dan akan memberikan bantuan kepadanya melalui Dewan Pemuda Pas Johor.
“Kami turut merasai kesedihan yang begitu berat tertanggung kepada anak muda yang baru berusia 19 tahun ini.
“Pemuda Pas mengucapkan takziah adik Rahman. Allah Maha Tahu aturan yang terbaik buat adik insha-Allah,” katanya.
Dalam nahas itu, bapanya, Amir Ruddin Ismail, 46, dan ibu, Norahimah Noor Muhamad, 43, dan empat adiknya, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah,13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5, meninggal dunia di lokasi.
Nahas berlaku selepas selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang mereka naiki dirempuh sebuah lori membawa muatan pasir. – KOSMO! ONLINE