BENIDORM, SEPANYOL – Pelancong di Benidorm, Sepanyol diberi amaran mengenai insiden serangan ikan yang semakin berleluasa berikutan suhu Laut Mediterranean semakin panas, lapor portal berita MailOnline semalam.
Lebih 15 orang dilaporkan cedera dan menerima rawatan. Mereka digigit ikan ketika berenang di beberapa buah pantai sekitar Alicante setiap hari. Mangsa digigit oleh ikan oblada atau ikan pelagis kecil.
Ia merupakan ikan berwarna kelabu dan mempunyai bintik hitam pada ekornya.
Ikan itu dikatakan tertarik pada tahi lalat, ketuat atau luka kecil pada kulit manusia.
Ikan yang boleh membesar sehingga panjang 30 sentimeter itu boleh mencederakan atau meninggalkan luka akibat gigitan pada lengan, kaki dan belakang mangsa.
Menurut beberapa pakar, cuaca panas mengakibatkan suhu air laut meningkat. Keadaan itu meningkatkan metabolisme ikan, seterusnya menaikkan seleranya. – AGENSI