IPOH – Kekurangan bekalan beras tempatan menggusarkan golongan peniaga kerana permintaan terhadap makanan ruji tersebut begitu tinggi dalam kalangan pengguna ketika ini.
Tinjauan Kosmo! di beberapa lokasi di sekitar bandar raya ini mendapati ada kedai runcit yang mengalami masalah bekalan beras sejak beberapa hari lalu, manakala ada premis perniagaan masih mampu menjualnya.
Seorang pengedar beras dikenali sebagai Anuar, 35, berkata, kebanyakan beras yang diedarkan ketika ini adalah beras import kerana bekalan beras tempatan tidak mencukupi.
“Jika sebelum ini, harga runcit bagi beras import 10 kilogram (kg) adalah RM31.80 tetapi bermula 1 September lalu ia dinaikkan sebanyak 90 sen sekilo bagi beras putih import.
“Permintaan beras tempatan memang tinggi tetapi syarikat pembekal sendiri tidak mampu menampung permintaan ketika ini,” katanya di sini semalam.
Seorang wakil pembekal dikenali Najmi, 42, berkata, mereka selaku pengedar beras juga khuatir akan nasib peniaga-peniaga di kampung jika harga beras naik mendadak.
“Beras tempatan masih ada cuma tidak banyak. Jika sebelum ini peniaga akan beli beras import 10kg pada harga RM29.50 daripada pengedar tetapi setelah kenaikan harga tersebut, peniaga terpaksa membelinya dengan harga kira-kira RM38.
“Sebagai contoh, sebelum ini peniaga akan beli beras dari pengedar dengan harga RM29.50 tetapi mereka akan menjualnya tidak sampai RM31.80 pun, mereka mengambil untung sebanyak 80 sen hingga RM2 sahaja,” katanya.
Di Kuala Terengganu, Isu kenaikan harga beras import di pasaran yang berlaku ketika ini dianggap terburuk dalam tempoh tiga tahun.
Penyelia sebuah pasar raya di sini, Wan Mohd. Fadhil Wan Jusoh berkata, kenaikan harga beras sebelum ini kurang RM1 bagi peket lima dan 10 kilogram (kg).
Beliau berkata, sebaliknya berlaku kenaikan sehingga lebih RM7 bagi kuantiti sama bagi stok baharu beras yang diterima daripada pembekal sejak kelmarin.
Memburukkan lagi keadaan, beliau mendakwa, berlaku gangguan bekalan beras tempatan sejak April lalu.
“Sebelum ini lazimnya harga (beras) cuma naik antara 30 sen hingga 50 sen, namun kini sudah meningkat lebih 25 peratus terutama bagi peket 10kg.
“Jika sebelum ini harga jualan RM32.50, harga baharu adalah RM40.99, manakala bagi peket 5kg meningkat daripada RM17 kepada RM20.99,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di Kampung Bukit Bayas, di sini semalam.
Wan Mohd. Fadhil menambah, bekalan beras yang diterima pula biasanya kurang 50 peratus daripada ditempah.
Sementara itu, seorang pemborong yang hanya mahu dikenali sebagai Sue, 42, pula mendakwa, kali terakhir dia menerima bekalan beras tempatan adalah kira-kira enam bulan lalu.
Dia mendakwa, pihaknya kini hanya menerima bekalan bagi beras import yang harganya jauh lebih mahal.
“Setiap kali bekalan baru dihantar, saya sentiasa membuat tempahan beras tempatan tetapi malangnya tiada stok.
“Pihak pembekal memberi alasan kenaikan harga beras import disebabkan kos pembungkusan baharu di peringkat kilang,” katanya. -KOSMO! ONLINE