KUALA LANGAT – Polis menahan 10 lelaki termasuk remaja selepas merusuh di bulatan Pulau Carey di sini berhubung penarikan kereta yang terlibat dalam kemalangan jalan raya, kelmarin.
Kesemua suspek berusia 15 hingga 51 tahun itu diberkas dalam dua serbuan berasingan di sekitar Banting dan Telok Panglima Garang bermula pukul 6 petang hingga 9 malam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd . Nor @ Saleh berkata, penangkapan mereka susulan laporan dibuat seorang remaja lelaki 16 tahun yang telah dipukul sekumpulan lelaki dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam, Ahad lalu.
Katanya, berdasarkan laporan pengadu memaklumkan puncanya disebabkan bagi
menarik kereta yang terlibat dalam kemalangan di Telok Panglima Garang di sini.
“Hasil semakan mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Selain itu, dua daripada mereka juga didapati positif Methamphetamine dan ganja,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menegaskan kesemua suspek direman selama tiga hari dengan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, Ahmad Ridhwan menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut sehingga boleh menganggu siasatan polis.
“Saksi kejadian berhubung kejadian tersebut diminta menyalurkannya maklumat kepada pegawai penyiasat Inspektor Abd. Rahman di talian 013-9789096 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat menerusi 03-31872222,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.