fbpx

Lelaki Thailand cuba lari nekad rempuh kereta polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shokri menunjukkan kereta polis yang dirempuh suspek dalam kejadian di Padang Besar, malam kelmarin.

PADANG BESAR – Seorang lelaki Thailand nekad merempuh kereta polis jenis Proton Persona ketika cuba melarikan diri daripada ditahan dalam kejadian di Taman Kastam 3, di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 9.30 malam itu, polis mengesan kereta jenis Proton Perdana dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menghampirinya.

Suspek yang menyedari kehadiran polis terus memecut laju dan turut merempuh kereta polis tersebut.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, anggotanya terpaksa mengejar suspek selama 30 minit sebelum lelaki terbabit didapati meninggalkan kereta di Kampung Kok Mak.

Katanya, suspek dipercayai meloloskan diri di kawasan semak di situ.

“Polis Padang Besar dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis melancarkan gerakan memburu suspek sejurus kejadian.

“Dia kemudian ditahan di sebuah kampung di sini pada pukul 9 malam tadi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar, di sini hari ini.

Kata beliau, semakan mendapati suspek adalah warganegara jiran selain memiliki satu kad pengenalan milik lelaki Malaysia yang pernah dilaporkan hilang.

“Ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan dipercayai turut terlibat dalam dua kes jenayah sebelum ini.

“Suspek juga dikehendaki bersangkut kes Seksyen 488 Kanun Keseksaan (KK) melibatkan pecah masuk bilik mesyuarat sebuah premis dan Seksyen 379/511 KK kerana cubaan pecah dan curi barangan dalam kereta,” ujarnya.

Tambahnya, semakan juga mendapati kereta dipandu suspek milik seorang wanita dan pihaknya sedang menyiasat hubungannya dengan suspek serta pemilikan kereta berkenaan.

“Kes dapat diselesaikan dalam masa 24 jam dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 307 KK kerana cubaan membunuh serta direman empat hari bermula hari ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI