BALING – Lima keluarga yang menjadi mangsa tragedi kepala air Kampung Iboi bakal menerima rumah baharu secara percuma apabila proses pengambilan balik tanah sebagai tapak pembinaan di Kampung Bok Bak di sini telah selesai dilakukan.
Pegawai Daerah Baling, Datuk Mohd. Shahadan Abdullah berkata, proses pembinaan berkenaan diuruskan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Kedah.
Katanya, Kampung Bok Bak terletak tidak jauh dari penempatan asal mereka.
“Kami menafikan dakwaan terdapat mangsa yang terpaksa pulang ke rumah asal disebabkan kerajaan negeri menghentikan bantuan pembayaran sewa rumah.
“Memang benar tiga keluarga telah pulang ke rumah asal sejak Julai lalu di atas kehendak sendiri selepas mendapati keadaan rumah mereka telah selamat untuk diduduki semula,” katanya.
Menurut Mohd. Shahadan, kerja melebar dan mendalamkan sungai membuahkan hasil apabila lokasi kejadian tidak lagi berbahaya seperti dahulu dan sebab itu mereka yakin untuk kembali ke rumah asal.
Tambahnya, dua keluarga memilih untuk terus menetap di rumah sewa yang ditanggung oleh kerajaan negeri.
“Tragedi itu telah mengakibatkan 17 keluarga hilang tempat tinggal dengan 12 rumah dikategorikan sebagai zon merah ekoran musnah atau dihanyutkan arus banjir,” katanya.
Ujar Mohd. Shahadan, kesemua 12 keluarga telah berpindah ke rumah ganti yang dibina oleh kerajaan negeri di Kampung Sadek, Kupang dan penyerahan kunci rumah,” katanya.
Tragedi kepala air pada 4 Julai tahun lalu itu mengorbankan tiga sekeluarga selain menyebabkan lebih 1,000 rumah terjejas.
Pada 31 Ogos lalu Kosmo! melaporkan sebilangan mangsa tragedi aliran puing Kampung Iboi terpaksa pulang ke rumah asal mereka setelah mendakwa bantuan bayaran sewa rumah telah dihentikan sejak Jun lalu.