BATU PAHAT – Pertembungan air pasang besar dan hujan separa lebat menyebabkan 100 kediaman penduduk di Taman Desa Sri Banang, Kampung Sungai Ayam dan Kampung Muhibbah Peserai dinaiki air hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Batu Pahat, Leftenan Mohd. Faezie Abdul Aziz berkata, air naik kira-kira sehingga 385 sentimeter di kawasan berkenaan namun mulai surut beberapa jam selepas itu.
“Terdapat sebanyak 100 buah rumah di Taman Desa Sri Banang yang dinaiki air pada 10 pagi tadi manakala ketika kami memantau di Kampung Sungai Ayam dan Kampung Muhibbah Peserai waktu yang sama, air sudah surut di lokasi berkenaan.
“Tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka namun kami bersiap sedia bagi jangkaan fenomena air pasang besar dan hujan lebat yang dijangka berlaku petang esok.
“Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Batu Pahat yang terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi sudah bersedia untuk memantau perkembangan ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, laporan terkini mengenai jadual pasang surut air dikeluarkan Jabatan Meteorologi dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).-K! ONLINE