SHAH ALAM – Sebanyak 11,832 ladang di bawah subsektor tanaman memperoleh pensijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) sepanjang tempoh 2003 hingga tahun lalu.
Dalam tempoh 19 tahun itu, sejumlah 326 ladang tanaman turut telah menerima pensijilan Skim Pensijilan Organik Malaysia (myOrganic).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dua pensijilan itu menjadi Petunjuk Prestasi Utama pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) bagi menambah baik keselamatan dan nutrisi makanan rakyat.
Katanya, sektor agromakanan perlu menerapkan amalan secara mampan bagi memelihara keseimbangan antara alam sekitar dan ekosistem.
“Ini bagi memastikan pertumbuhan industri tidak mengakibatkan pencemaran dan kerosakan alam sekitar sekali gus memenuhi permintaan makanan yang kian meningkat.
“Selain MyGAP dan myOrganic, kerajaan menyediakan insentif bagi menggalakkan petani mendapatkan pensijilan pesticide free yang tidak menggunakan racun perosak sintetik,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementeriannya, Datuk Lokman Hakim Ali pada Majlis Apresiasi Pensijilan 2022 itu di sini, malam tadi.
Seramai 2,718 wira Agro diraikan termasuk penghargaan kepada Agen Pengembangan Tanaman (APT) dan Jabatan Pertanian negeri yang mencapai pensijilan Amalan Pertanian Baik tertinggi serta ladang myGAP dan myOrganic paling konsisten.
Jabatan Pertanian Terengganu memenangi kategori negeri pensijilan myGAP dan myOrganic tertinggi manakala kategori APT dimenangi Clarence Sakai Ganang daripada Jabatan Pertanian Sarawak.
Jelas Mohamad, Jabatan Pertanian menumpukan kemampanan sektor agromakanan menerusi penandaarasan amalan pertanian dua pensijilan itu yang dijadikan Objektif Kualiti dalam pelaksanaan MS ISO 9001:2015 Perkhidmatan Pengembangan Pertanian.
“Bagi memastikan aktiviti pertanian mematuhi amalan pertanian baik, myGAP turut diperluaskan kepada pemeliharaan lebah dan kelulut, tanaman bukan makanan dan pesticide free.
“Selain itu, tawaran harga jualan dan peluang pasaran lebih baik perlu dipertingkatkan bagi menarik minat lebih ramai wira agro memohon pensijilan tersebut,” katanya. -KOSMO!ONLINE