fbpx

Peratusan keluar mengundi awal boleh cecah 99 peratus – SPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL GHANI ketika ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan ke Markas PPM Wilayah Dua, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan peratusan keluar mengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) di negeri ini boleh mencecah 99 peratus.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, setakat pukul 11 pagi tadi, dianggarkan sebanyak 51 peratus anggota dan pegawai polis melaksanakan tanggungjawab keluar undi awal.

“Alhamdulillah pagi ini saya bersama rombongan dan pegawai pengurus pilihan raya (RO) hadir di dua pusat undi awal iaitu di Balai Polis Kempas dan Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua dan prosesnya berjalan lancar.

“Pada sejam pertama, kehadiran anggota dan pegawai polis telah keluar undi awal adalah 16 peratus dan meningkat kepada 51 peratus setakat pukul 11 pagi tadi.

“Melihat kepada trend ini, kita jangkaan peratusan yang keluar mengundi pada hari undi awal ini mencecah 99 peratus,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Markas PPM Wilayah Dua, di sini hari ini.

Seramai 927 pegawai dan anggota polis di negeri ini akan melaksanakan undi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Pulai.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sebanyak dua pusat mengundi yang disediakan iaitu di Markas Polis Marin Wilayah 2 Tampoi dan Balai Polis Kempas dengan melibatkan tiga saluran.

Beliau berkata, bagi memastikan kelancaran proses pengundian awal itu, seramai 269 pegawai dananggota telah diatur gerak bagi penugasan tersebut.

Pengundian di PPM Wilayah Dua bermula tepat pukul 8 pagi dan berakhir pukul 5 petang manakala di Balai Polis Kempas pengundian bermula 8 pagi dan berakhir 12 tengah hari.

Abdul Ghani berkata, anggota dan pegawai polis yang belum keluar undi dapat menunaikan tanggungjawab lebih awal sebelum pusat pengundian ditutup.

“Bagi hari mengundi pada Sabtu ini, kita harap pemilih dapat keluar mengundi mengikut waktu yang dicadangkan. Pengundi diingatkan tidak lupa membawa kad pengenalan dan jangan beri kepada individu yang tak sepatutnya.

“Bagi pengundi yang berada di luar Johor, kita harap mereka dapat pulang ke kampung halaman untuk menunaikan kewajiban,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI