REMBAU – Tiga beranak termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman pusaka yang diduduki musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Solok, Chengkau, di sini, pukul 5 petang tadi.
Lebih menyedihkan lagi, pemilik kediaman, Zainab Abdullah, 71, yang baharu sahaja turun dari bas selepas pulang kerja di sebuah kedai makan segera dimaklumkan penduduk lalu membawanya pulang ke rumah.
Menurut Zainab, dia yang tidak memiliki talefon bimbit berderau sebaik dimaklumkan rumahnya terbakar dan sebaik sampai, hanya bahagian tandas sahaja yang dapat diselematkan.
“Rumah ni dah lebih dari usia saya. Sedih sangat, walaupun tiada barang yang berharga seperti barangan kemas atau wang tunai, banyak pemberian saudara serta kenalan yang sudah musnah terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi, di sini, hari ini.
Bagi anaknya, Sahak Jamaludin, 33, tidak seperti kebiasannya, hari ini dia tertinggal telefon bimbit serta dompetnya di rumah sebelum ke tempat kerja.
Menurutnya, dia hanya mengetahui rumahnya terbakar dari rakannya dan segera pulang ke rumah dan terkejut melihat semuanya sudah musnah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota, Pegawai Bomba Tinggi (PBT), Zaini Saleh berkata, sebaik menerima panggilan pukul 4.59 petang, seramai sembilan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pihaknya berhadapan dengan kesukaran untuk sampai ke lokasi berikutan laluan kampung yang agak sempit dan tiba pada pukul 5.08 petang.
“Sebaik sampai kediaman separa batu dan kayu sudah pun terbakar kira-kira 75 peratus. Kita berjaya mengawal kebakaran kira-kira 20 minit kemudian.
“Kediaman ini dianggarkan terbakar kira-kira 80 peratus,” katanya sambil menjelaskan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Suhaimi Aini berkata, buat masa ini tiga beranak berkenaan akan ditempatkan di balairaya berdekatan sementara pihaknya mencari rumah sewa bersesuaian.
“Malah, kita juga akan membuat permohonan buat keluarga ini bagi memiliki rumah baharu di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) ataupun bantuan bersesuaian,” katanya. – KOSMO! ONLINE