IPOH – Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak menzahirkan kesyukuran atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang melepaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.
Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keputusan mahkamah itu sekali gus menggambarkan natijah yang besar atas segala ujian getir dihadapi Ahmad Zahid selama lebih lima tahun dalam berjuang membersihkan dirinya daripada percaturan pendakwaan politik yang sengaja dikenakan ke atas beliau.
“Mengambil kira 11 alasan menghentikan pendakwaan ke atas semua pertuduhan tersebut, sudah tiba masanya kredibiliti institusi perundangan termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kembali dijernihkan setelah terdedahnya satu persatu eleman campur tangan bermotif politik dalam kes berkenaan.
“Justeru, keputusan mahkamah itu sewajarnya memberi pengajaran kepada semua pihak betapa insitusi kehakiman yang selama ini menjadi tunjang sistem keadilan dan keamanan mesti sentiasa dipertahankan daripada menjadi perkakas politik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, badan Perhubungan UMNO Negeri Perak berpendirian bahawa Kerajaan Perpaduan Malaysia perlu menjadi teladan dengan memberi kebebasan sepenuhnya kepada institusi perundangan dalam menegakkan keadilan agar episod hitam pendakwaan politik tidak lagi berulang.
Media hari ini melaporkan tentang keputusan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan AGC agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri.
Mahkamah turut menolak permohonan pasukan pembelaan agar Ahmad Zahid dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan-pertuduhan yang dihadapinya. – KOSMO! ONLINE