TEMPOH dua hari menjadi peluang terakhir buat pemain Bawah 23 Tahun (B-23) negara untuk melakukan ‘ulang kaji’ terakhir sebelum membuka tirai saingan Kumpulan H kelayakan Piala Asia B-23 menentang Bangladesh di Stadium Chonburi, esok.
Ketika Thailand dianggap pencabar utama kepada skuad kendalian E. Elavarasan pada saingan kali ini, pemain negara tiada pilihan lain kecuali perlu berada pada tahap terbaik memandangkan kekuatan sebenar dimiliki Bangladesh masih lagi dianggap misteri.
Penjaga gol negara, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman berkata, pengalaman dan kegagalan di Sukan SEA serta Kejuaraan AFF B-23 sebelum ini beri pengajaran berguna buat skuad sekarang.
“Saya rasa dalam kumpulan ini Thailand adalah pasukan yang sukar dan mampu beri cabaran. Bagi saya tugasan kali ini diibaratkan seperti ‘final exam’ kerana kita sudah jumpa Thailand di Sukan SEA dan Kejuaraan AFF.
“Kalau dua perlawanan sebelum ini kita sudah kalah, sekurang-kurang ia beri pengajaran berguna buat kami. Kami tidak boleh lagi kecewa dan kali ini kita perlu menang atau sekurang-kurangnya seri,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Ditanya mengenai persaingan antara dua lagi penjaga gol, Rahadiazli Rahalim dan Azim Al Amin Kamaruddin, Sikh Izhan akui dua rakannya itu turut memiliki kualiti tersendiri yang mampu halang impiannya berada dalam kesebelasan utama.
“Saya tidak terlalu yakin kerana kedua-dua penjaga gol dalam keadaan terbaik dan saya percaya jurulatih akan senaraikan pemain terbaik. Setiap pemain perlu beri kepercayaan antara satu sama lain kerana jika tidak tugasan kali ini akan jadi susah.
“Masing-masing ada tanggungjawab untuk berikan aksi terbaik,” katanya.