MERSING – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Nur Zara Arissa dari Kampung Pengkalan Batu di sini, terpaksa melalui penderitaan hidup sejak lahir dengan menjalani pembedahan seawal usia tiga hari.
Pembedahan di kepala itu terpaksa dilakukan ekoran penyakit hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala yang dihidapi Nur Zara sejak dalam kandungan.
Bapanya, Khairul Aizam Ramly, 31, berkata, dia sendiri pernah dibuang kerja ekoran kerap mengambil cuti bagi menghantar anaknya itu yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, pelbagai pembedahan yang dilakukan ke atas Nur Zara turut menyebabkan kanak-kanak itu tidak lagi memiliki tempurung kepala di bahagian belakang.
“Nur Zara dilahirkan dalam keadaan ada lebihan cecair di belakang kepalanya. Dia juga terpaksa jalani pembedahan untuk ‘tanam’ tiub di kepala dan badan untuk mengalirkan cecair ke bahagian saluran kencing.
“Sejak bayi dia sudah jalani sebanyak 12 kali pembedahan termasuklah pembedahan menggantikan tiub di dalam kepalanya ketika usia dua tahun.
“Dia terpaksa ganti tiub baharu kerana berlaku jangkitan kuman yang mana kos menukar tiub itu sebanyak RM4,000 perlu ditanggung sendiri,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Terdahulu, kanak-kanak tersebut menerima kunjungan Pertubuhan Amal Bakti Kebajikan Masyarakat Mersing yang turut dihadiri Ketua Kampung Pengkalan Batu, Shamsuri Yusof.
Khairul Aizam berkata, dia kini bekerja di bengkel kenderaan dan baru tahun ini dapat bekerja makan gaji selepas mendapat majikan yang memahami keadaannya.
Katanya, dia sebelum ini hanya mengambil upah membaiki motosikal di rumah sewanya.
“Alhamdulillah keadaan Nur Zara juga semakin baik dan tidak seperti ketika dia masih bayi.
“Sekarang ini saya sudah boleh keluar bekerja untuk menampung keluarga selain membiayai kos rawatan Nur Zara,” katanya yang mempunyai tiga orang cahaya mata.
Menurutnya, Nur Zara yang memiliki kad OKU mendapat elaun bulanan RM300 dan bantuan dari Baitulmal sebanyak RM200.
Bagaimanapun katanya, bantuan itu tidak dapat menampung kos bulanan termasuklah rawatan ke Johor Bahru dan lampin pakai buang.
“Lagipun, Nur Zara ketika ini perlu jumpa empat pakar bagi memantau keadaannya termasuklah pakar mata kerana dia mengalami masalah rabun,” katanya.
Orang ramai yang mahu membantu boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank milik Nur Syakila 151098508648 bagi meringankan beban keluarga ini.